Thursday, November 29, 2007

Roti Pita


Resipi Roti Pita ini dari Erna. Inilah rupa bekal Faris dan mama hari ini.Harap-harap Faris boleh habiskan bekal dia ni.Faris takde mood nak ke nursery hari ni..dah banyak hari dia macam tu..dia kata "Tak suka ! tak suka nursery!!".Sepanjang minggu lepas dan minggu ni mama banyak kali menitiskan air mata nak tinggal dia kat situ..Tapi apakan daya,terpaksa ditahan jua.Nanti bila Mama Asmah dah sihat boleh dia tolong jaga Faris semula.Sabar ya Faris :((

Walnuts Cinnamon Roll

Walnuts Cinnamon Roll ni buat 2 hari yang lepas. Ada masalah teknikal yang agak besar juga berlaku- tersilap guna tepung superfine!! Oleh sebab bahan-bahan dah bercampur semuanya masukkan ajelah dalam breadmaker.Tapi terpaksa tambah lagi tepung sebab adunan jadi lembik bila guna tepung superfine..Dan syukur roti ni menjadi juga, walapun kurang naik berbanding yang Yani buat.

Wednesday, November 28, 2007

Cakoi


Resipi Cakoi dari Skyblue . Ini percubaan kedua.Kali pertama dulu, disebabkan teringin sangat nak buat Cakoi , beli tawas di kedai ubat cina.Sekali bila dah goreng tawas tu tak hancur.Berketul-ketul lagi.Ishk..ini tawas boleh makan ke tidak nih? Orang tu kata boleh..tapi nampak lainnnn aje.Rasa-rasanya masa kecik2 dulu Bonda buat Cakoi tak letak tawas, guna ammonia aje. Jadi kali kedua buat tak pakai dah tawas tu. :p. Lain kali nak kena beli tawas yang jual kat kedai barangan baking memang pasti boleh makan kan.

Sunday, November 25, 2007

Kek Gulung Kirana


Alhamdulillah,siap juga kek gulung ni..walaupun masih kurang cantik namun cukup puas hati sebab big boss makan banyak :D.

Bahan (Untuk 2 gulung kek)

UNTUK BAHAGIAN DALAM KEK (CORAK BERKOTAK-KOTAK)
(Untuk kedua-dua bahagian saya guna loyang bersaiz 8 inci)

100 gram tepung superfine
200 gram butter
2 sudu besar susu pekat manis
6 biji kuning telur
2 biji putih telur
90 gram gula halus
30 gram susu tepung
½ sudu besar ovallet

Untuk melekatkan kek (guna pada bahagian dalam dan luar kek)
Susu pekat manis
Jam
Gaul rata kedua-dua bahan ini

Cara-cara
1)Panaskan oven pada suhu 180 darjah celcius.
2)Pukul gula dan telur hingga kembang.
3)Masukkan ovallet , tepung superfine dan susu tepung.Pukul hingga gebu dan rata.
4)Dalam mangkuk berasingan pukul butter dan susu pekat manis. Setelah kembang, campurkan ke dalam adunan tadi.Gaulkan hingga rata.

5)Bahagikan adunan kepada 4 bahagian .Letak dalam mangkuk berasingan.(saya timbang setiap satu supaya dapat portion yang seimbang, iaitu setiap 1 beratnya 150 gram)
Masukkan pewarna dan perasa berikut bagi setiap satu adunan :

1. Pewarna purple + jem bluberry
2. Pewarna merah + perasa strawberry
3. Tanpa pewarna, Cuma letakkan sedikit kordial periasa oren (saya guna sunquick)
4. Pandan emulco

6) Potong kertas butter cukup untuk loyang berukuran 8 ½ inci. Sapukan sedikit mentega ke atasnya. Tukar api oven kepada api atas sahaja.
7) Masukkan adunan berwarna purple, dan bakar hingga masak . (Lebih kurang 5 minit)
Masukkan pula adunan berwarna merah , begitulah seterusnya warna kuning dan hijau.
8)Setelah masak, potong kek . Pastikan lebar dan tinggi kek adalah sama.Potong guna menggunakan pembaris sebagai panduan supaya potongan sama dan tidak herot berot.

10)Setelah itu campurkan susu pekat manis dan jem. Gunakan apa-apa jenis jam pun boleh.
11)Sapukan campuran susu pekat dan jem ini pada tepi kek yang telah dipotong. Susun kek memanjang dan melintang. Kemaskan setiap bahagian dan balut dengan plastik. Simpan dalam peti ais beberapa jam, supaya cantuman menjadi rapat dan kemas.

UNTUK BAHAGIAN LAPISAN LUAR KEK
4 biji kuning telur (saiz B)
2 biji putih telur
50 gram tepung superfine
70 gram butter

Cara-cara
1) Pukul gula dan telur sehingga gebu dan kembang.Kemudian masukkan tepung dan ovalet, pukul hingga rata.Kemudian masukkan butter yang telah dicairkan.Pastikan butter cair telah sejuk dahulu.Gaulkan hingga adunan rata dan sebati.

2) Kemudian bahagian adunan ini kepada 2 bahagian. Sapukan sedikit butter pada kertas , dan masukkan 1 bahagian adunan. Ratakan dan bakar dalam oven hingga masak.

3) Telangkupkan kek yang telah masak diatas sehelai tuala bersih.Buangkan lapisan kertas diatasnya.

4) Sapukan campuran susu pekat dan jem pada bahagian atas permukaan kek.Kemudian keluarkan bahagian dalam kek yang disimpan didalam peti ais.Letakkannya di atas kek tadi. Kemudian gulung kek dengan memegang hujung tuala .Gulung kemas-kemas.Gulungan ini sebanyak satu lapisan sahaja.

5) Potong lebihan kek. Kemudian letakkan kek ke atas plastik, gulungkan kek pada plastik (kemas-kemas) dan simpan semula dalam peti ais beberapa jam . Jika dipotong terus kek tak cukup kemas.Kemudian bolehlah dipotong.






Valarai Paratel



Pegaga Goreng, dalam bahasa Tamil dikenali sebagai Valarai Paratel. Pegaga, atau nama saintifiknya Centella Asiatica merupakan ulam yang diketahui mempunyai banyak khasiat. Antaranya , ia dikatakan baik untuk wanita, dimakan untuk awet muda,melancarkan peredaran darah dan penawar kepada jerawat dan kencing manis. Ketika membeli sayur ini semalam, makcik peniaga sempat menasihatkan supaya memakan daun bersama akar dan batangnya sekali. Katanya khasiat pegaga bukan sahaja terletak pada daunya, malah pada akar dan batangnya. Jadi untuk kali ini semua bahagian batang dan akar tidak dibuang. Meskipun rasanya kurang sedap, namun kutelan jua :p

Bahan-bahan
Seikat daun pegaga
2 ulas bawang putih
Segemgam ikan bilis-diketuk
½ sudu the serbuk kunyit
1 biji lada kering, dibersihkan dan potong memanjang
Garam
Minyak untuk menumis

Cara-cara
Bersihkan daun , batang dan akar pegaga. Kemudian rendam didalam air bercampur garam.Bilas sekali lagi.
Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih.Tambahkan ikan bilis ,serbuk kunyit, lada kering dan garam.Biarkan seketika,kemudian masukkan daun pegaga dan goreng sekejap.Sedia dimakan panas bersama nasi.

Friday, November 23, 2007

Mango Yogurt Tart

Resipi asal bernama Yogurt Tart, dari Yani.
Resipi ini ada di www.myresipi.com. Oleh kerana kedai dekat rumah tak jual plain yogurt, beli aje apa yang ada-mango yogurt.Yogurt ini sudah sedia manis, jadi jumlah gula dikurangkan dari 100 gram kepada 45 gram.Tetapi masih terasa manis. Di lain kali mungkin boleh abaikan sahaja gula jika mahu guna yogurt berperisa.Tepung jagung juga terpaksa ditukarkan kepada tepung kastard kerana kehabisan stok.Rasanya memang sedap.

Thursday, November 22, 2007

Genovese Basil

Pokok basil selepas 3 bulan 12 hari disemai. Hasilnya tidak mengecewakan.Daun yang segar dan baunya yang tersendiri memberi sedikit seri pada bahagian tingkap rumah. Basil sesuai ditanam pada semua jenis tanah dan mudah menyesuaikan diri dengan sebarang iklim.Keadaan sebaliknya berlaku kepada pokok pasley. Mungkin faktor pencahayaan,jenis tanah , saliran yang kurang baik dan pembajaan yang tidak sempurna telah menjejaskan pembesaran pokok pasley.Keadaan bertambah buruk apabila serangga atau lebih tepatnya burung memakan habis semua daun. :((

Pasta Ala Carbonara

Sarapan hari ini dengan pasta dan dragon fuit.
Pasta yang mudah disediakan, sesuai untuk kanak-kanak.Apa yang diperlukan cuma rebus pasta.Di dalam periuk,tumis bawang putih dan isi ayam.Dalam bekas berasingan,campurkan 3 biji telur, 1 cawan susu full cream, mozarella cheese dan cream cheese.Campurkan bahan ini ke dalam periuk, dan masak dengan api sederhana.Tambahkan sedikit garam dan serbuk lada hitam.Apabila sudah pekat masukkan pasta dan bolehlah dihidangkan.Taburkan sedikit lada sulah sebagai hiasan.

Butterhead Lettuce


Sayur organik pertama dari pasu. 2 bulan yang lepas semai 3 benih butterhead lettuce dalam 1 pot yang kecil.Hasilnya 2 pokok mendominasi ruang dan 1 pokok terkial-kial mencari tempat. Masih lagi memikirkan nak buat apa dengan sayur ni. Sebelum itu berikan peluang untuk sayur ni membesar sedikit lagi sebelum dituai.

Tuesday, November 20, 2007

Ayam Pandan


Belajar cara nak buat ayam pandan ni dari Checkmate.Resipinya ada disini


Rasanya memang sedap.Walaupun tak sempat nak perap tetapi rempahnya terasa mungkin balutan daun pandan tu 'memegang' rasa rempah.Cuma buah keras dalam resipi asal ditukarkan kepada lada putih. Ni kes malas nak cari buah keras dalam fridge.Komen dari my big boss adalah positif.Maksudnya boleh buat lagi lain kali :D

Thursday, November 15, 2007

Kueytiaw Sup

Kekangan masa..antara perkara yang menghalang untuk menyediakan makan malam bagi yang bekerja.Cara yang paling cepat untuk 'menyelamatkan' perut yang lapar ialah sediakan makanan panas seperti kueytiaw atau mi sup.Bila kesuntukan masa selalu ingat kata-kata Bonda.Katanya makan malam ni cuma alas perut sahaja.Bagi memastikan kita boleh tarik selimut masa tidur nanti.Hmm kalau gitu lah..sesuai makan biskut aje la kalau hari-hari. Hehe kalau makan kueytiaw macam ni..agak-agaknya masuk pertandingan tarik tali pun boleh menang ni :p

Wednesday, November 14, 2007

Aiskrim Goreng


Sudah lama berkeinginan untuk cuba buat sendiri aiskrim goreng ni. Biasanya kalau pulang ke Pasir Mas boleh makan aiskrim goreng, dengan harga RM 1.50 sebiji. Membuatnya tidaklah susah cuma untuk merapatkan bahagian tepi roti susah sikit. Resipi ini diceduk dari Princess Haryati.Oleh kerana ia ada unsur roti saya goreng pada waktu pagi dan jadikan sarapan 2 hari yang lepas. Perasan juga Encik Suami macam terkejut bila pagi-pagi lagi dah hulurkan dia aiskrim goreng ni .. he he

Monday, November 12, 2007

Senyum sikit!





Location: Alamanda,Putrajaya
Date: 11th Nov 2007
Faris -bagi pose special untuk Aunty Noreen. Gebu tak? :D

Ikan Siakap Masak 3 Rasa


Ikan siakap .Resipi ni ambil dari Noreen .TQ ya Noreen :D

Friday, November 9, 2007

Cookies Winnie The Pooh & Tigger


Winnie The Pooh-karaktor kartun yang paling digemari! Cookie cutter ini Yani yang tolong belikan.Raya ke 3 yang lepas sempat beraya dengan dia di Pasir Mas dan ambil cutter ni.Terima kasih ya Yani.Lupa pula nak tanya watak kartun apa lagi yang ada yek?

Tapi adunan cookie ni terlalu mengembang.Lihat saja adunan yang belum dibakar disebelah kanan tu-cantik aje.Bila dah bakar-jadi mcm yang di belah kiri.Ha ha jadi chubby mcm tukang bakar nya!!!

Kuzi Ayam


Cuti deepavali dimanfaatkan dengan menumbuk rempah.Mula-mula kisar dengan blender.Tak cukup halus tumbuk dengan lesung pulak.Keletung! keletang!Resipi ini salin dari Bonda.
Bahan A- (Rempah)
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh lada hitam
6 kuntum bunga cengkih
1 inci kulit kayu manis
4 biji buah pelaga-sila buang kulit dan ambil bijinya sahaja
1 kuntum caber
2 kuntum bunga lawang

Bahan B
800 gram - 1kg ayam
sedikit saffron
2 ulas bawang putih
1 sudu besar garam
1 inci halia
Minyak sapi untuk menggoreng

Bahan C
150 gram bawang besar
20 gram kepingan badam
1/2 cawan kacang tanah
40 gram kismis
1 ketul hati ayam-rebus dahulu

Bahan D
3 hiris lengkuas
2 hiris halia
1 batang serai
1 biji limau nipis
2 ulas bawang putih
200 ml susu sejat
Sedikit saffron
1/2 cawan penyukat sos tomato
700 ml air
1 1/2 sudu teh garam
2 sudu teh gula

Cara-cara
1)Sediakan rempah-rempah di A.Basuh bersih didalam tapis.Kemudian goreng kering/sangai di dalam kuali.
2)Kisar rempah tadi dalam pengisar kering.Boleh juga ditumbuk hingga halus. Sebagai panduan berat rempah yang dapat ialah sebanyak 10 gram.
3)Bahan-bahan di B-saffron,bawang putih dan halia ditumbuk.Kemudian lumurkan pada ayam.Perap seketika .Kemudian goreng ayam menggunakan minyak sapi.
4)Semua bahan di C hendaklah digoreng.Goreng mengikut turutan-mula-mula goreng bawang besar.Kemudian diikuti badam,kacang tanah, kismis dan hati ayam .Setelah digoreng,hati ayam dipotong dadu.
5)Tumbuk badam bersama bawang goreng.
6)Campurkan rempah di A, susu sejat,bawang besar dan badam tumbuk,limau nipis dan sos tomato dan saffron.Gaul rata di dalam sebuah bekas.
7)Panaskan minyak sapi.Tumiskan bawang putih,halia,lengkuas dan serai.Kemudian masukkan semua campuran di No 6.Masukkan sedikit air.Biarkan menggelegak.Masukkan garam dan gula.Kemudian masukkan ayam yang telah digoreng.
8)Masukkan baki air.Kemudian masukkan kacang tanah dan hati ayam. Tambahkan air lagi jika kuah terlalu pekat.Imbangkan rasa manis dan masinnya. Sedia untuk dihidangkan dengan nasi,roti jala atau bun.

Wednesday, November 7, 2007

Roti Mozarela & Pau Sardin

Tajuk eksperimen hari ini ialah mengkaji keberkesanan penggunaan tepung pau keatas pembuatan bun.

Pagi-pagi lagi dah bangun untuk memasukkan adunan roti ke dalam breadmkaer.Selepas breadmaker dihidupkan tiba-tiba terperasan ada mahkluk berwarna hitam pada permukaan adunan.Ada pula bubuk hitam ni. Apa lagi terus dibuang semua adunan tadi.Stok tepung roti sudah habis.Yang tinggal tepung naik sendiri,tepung pau,tepung ros dan bermacam tepung lagi.Oleh kerana keinginan untuk makan roti begitu berkobar-kobar cuba juga buat roti menggunakan tepung pau-yang memang diketahui mempunyai protein yang rendah.Adakah tepung pau sesuai untuk membuat roti? Mari kita lihat hasilnya.

Bahan-bahan
140 ml air
300 gram tepung pau (perlu tambah tepung lagi keranan adunan terlalu lembik)
40 gam gula kaster
1 1/2 sudu teh yis kering
1 sudu teh bread improver
1/2 biji telur ayam
30 gram butter
1 sudu teh garam
2 sudu besar tepung susu
***
mentega-potong kiub semasa masih sejuk
sedikit gula kaster untuk tabur
mozarella cheese

Cara
1.Masukkan semua bahan ke dalam breadmaker.Pada 10 minit minit pertama adunan berada dalam breadmaker, tambahkan lagi tepung sehingga doh menjadi sebuku dan tidak melekat-lekat pada tepi loyang. Selepas 1 jam 30 minit. keluarkan dan tumbuk tumbuk doh.
2.Bahagikan kepada beberapa ketul dan isikan setiap satu dengan kuib mentega.Biarkan sekejap supaya doh naik.Sapukan sedikit mentega ke atasnya.
Bakar dalam oven pada suhu 180 darjah.
3.Selepas 20 minit,keluarkan dan tabur mozarella cheese dan gula kaster.Bakar lagi hingga cheese mencair.

Sebagai perbandingan,baki adunan dikukus menjadi pau.Masukkan sedikit inti sardin ke dalam adunan dan tutup.Bulat-bulatkan dan letakkan ke atas kertas butter. Biarkan seketika supaya doh naik.Kemudian kukus dalam kukusan yang telah dididihkan selama kira-kira 15 minit.

Kesimpulan & pemerhatian dari eksperimen ini:
1) Tepung pau boleh digunakan untuk membuat roti.Teksturnya lembut.Tetapi jumlah tepung perlu ditambah dari resipi asal.
2) Adunan ini menghasilkan 9 biji bun dan 5 biji pau.

Friday, November 2, 2007

Pan Mee

Resipi Pan Mee ini dari Skyblue. Resipinya ada disini .Rasanya macam makan pasta. Mee ni sesuai sangat bagi sesiapa yang tiada mesin mee macam saya.Cuma perlu tarik-tarik dan celur! Faris sukakannya.Dia komen.."Mama , sedap! sambil bagi 1 thumb up! :D Mama happy!!!