Sireh Kaduk merupakan kudapan masyarakat Thai. Di Thailand, ia kenali sebagai Miaeng Kam . Miaeng Kam dimakan sebagai pembuka selera dan kudapan ketika santai. Daun kaduk segar,iaitu bahan utama dimakan bersama cili padi,udang kering,bawang putih,halia,kelapa,kacang tanah,manisan dan beberapa ramuan lain. Cara memakannya ialah dengan melipatkan daun kaduk menjadi kelonsong dan memasukkan bahan-bahan inti kedalamnya, dan terus dikunyah. Campuran bahan-bahan yang pedas,manis,lemak,masam dan masin ini bergabung di dalam mulut dan rasanya sedap bagi yang menggemari ulam.
Bagi keluarga saya, makanan ini sangat popular semasa bulan ramadhan. Ia dimakan beramai-ramai selepas menunaikan solat tarawih.Lebih ramai, lebih seronok kerana masing-masing akan melipat dan mencampurkan sendiri bahan-bahan sampingan, mengikut citarasa sendiri.Kalau terlebih letak cili padi,pedaslah!!
Di negara kita, hidangan ini boleh di dapati di restoran makanan Thai. Jika anda menunjungi negeri Kelantan, ia ada di jual di Pasar Siti Khatijah, ia dibungkus didalam bekas polisterin dan harganya lebih murah. Saya sangat sukakan kudapan ini dan pasti beli kalau terjumpa.
Masyarakat Thai menggunakan isi kelapa yang dihiris halus, panjang dan di bakar sebagai ramuan sireh. Disini saya tukarkan dengan kelapa parut yang telah disangai. (Sebab susah juga nak menghiris isi kelapa ).
Bahan-bahan
(Seperti didalam gambar, bermula dengan yang paling atas, dari kiri)
1. 1 cawan Kelapa parut yang telah di sangai
2. 1 cawan Kacang tanah (dipanggang)
3. 1 cawan Udang kering- basuh bersih dan goreng tanpa minyak seketika
4. Sos- campuran gula melaka, air, garam dan sedikit sos ikan
5. 3 biji Limau nipis-buangkan kulit dan isinya di potong dadu
6. 5 biji Bawang putih-dihiris dan potong dadu
7. 5 biji Cili padi-dihiris
8. 2 inci Halis-dihiris halus
9. 30 helai Daun kaduk -basuh bersih dan dilap kering
cara penyediaan:
Sediakan semua bahan-bahan di atas dan letakkan de dalam bekas.
Untuk penyediaan air gula, masak 2 keping gula melaka bersama air.Masukkan garam secukup rasa dan sos ikan (jika suka) Boleh juga masukkan sedikit udang geragau.Kacau hingga masak.
#Orang Thai meletakkan memasukkan sedikit kelapa parut yang telah disangai ke dalam sos.Saya abaikan sebab kelapa parut goreng sudah termasuk dalam ramuan di atas.
Cara makan:
1. Ambil sehelai daun kaduk,lipat daun menjadi kelongsong.
2. Masukkan semua bahan-bahan- letakkan serba sedikit
3. Akhir sekali tuangkan sos dan bolehlah dimakan segera.
4. Kunyah perlahan-lahan supaya semua bahan bergabung di dalam mulut dan disitulah rasa sedapnya akan terhasil!
- saya jumpa daun kaduk semasa pergi ke pasar pagi tadi. Bimbang tersalah beli, saya tanyakan dulu penjual disitu samada ini daun kaduk atau daun sireh. Sebab pernah sebelum ini, saya tersilap beli daun sireh!!