Thursday, November 27, 2008

Nasi Ayam Penyet Palembang


Resipi Nasi Ayam Penyet dipetik dari blog Resipi Diana, resipi asal oleh Hajah Rohana Abu. Ayam ni bila dah siap goreng kena ketuk-ketuk sikit.Rupa-rupanya dari situlah dapat nama penyet tu. Untuk sos hitam tu kena pakai sos tiram.Sos tiram habislah pulak.Sudahnya cuba tukar dengan sos hoisin. Bila dah mendidih atas dapur terasa mcm tak kena pulak kat tekak ni. Takpe, guna contigency plan no 2. pulak Maka jadilah campuran sos hitam tu ala-ala black pepper sos . Kita campurkan sup ayam+ minyak bijan+serbuk lada hitam + bancuhan tepung jagung+ kicap cair. Rasanya not bad!

NASI AYAM PENYET PALEMBANG
Sumber: Hajah Rohanna Abu (Berita Harian 1 Sept 2006)

Bahan A (untuk merebus ayam)
1 ekot ayam (belah empat)
1 batang serai
2 ibu jari halia
5 ulas bawang putih
2 liter air
Garam secukup rasa

Cara-caranya
1. Ketuk halia, serai dan bawang putih kemudian masukkan ke dalam sebuah periuk yang besar, bersama air, garam dan ayam.
2. Rebus ayam selama 20 minit atau sampai ayam timbul.
3. Keluarkan ayam dari air rebusan dan segera pindahkan ke dalam bekas berisi air batu. Tujuannya ialah untuk menghentikan proses memasak supaya ayam tidak hancur apabila digoreng. Ketepikan air rebusan ayam untuk sup dan nasi.
4. Biarkan ayam dalam air batu selama beberapa minit kemudian toskan.

TIP: Setelah anda keluarkan ayam daripada air rebusannya, segeralah masak nasi. Apabila nasi tanak, ayam pun sudah siap untuk digoreng dan dihidangkan bersama.

Bahan B (untuk goreng ayam)
2 biji telur
175 gram tepung beras
50 gram jintan biji (boleh ditambah jika suka. Cuci toskan dan sangar jintan kemudian ditumbuk)
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh rempah kari daging
1 sudu teh serbuk lada
Garam dan air secukupnya

Cara-caranya
1. Dalam sebuah bekas yang besar, satukan semua bahan yang kering.
2. Pecahkan telur ke dalam adunan bahan kering ini dan adun hingga rata.
3. Tuang air sedikit-sedikit ke dalam adunan sambil mengacaunya. Pastikan adunannya tidak terlalu pekat dan tidak cair.
4. Panaskan secukup minyak dalam kuali kemudian celup ayam ke dalam tepung dan gorenglah ayam hingga masak.

Nota: Oleh kerana ayam sudah direbus, anda tidak perlu menggorengnya terlalu lama agara ayam tidak keras. Setelah masak, ayam hendaklah diketuk atau dipenyetkan sebelum dihidangkan.


Bahan C (Untuk nasi dan sup)
1 kilo beras (cuci dan toskan)
150 gram mentega
1 cawan minyak masak
½ cawan minyak bijan
6 – 8 helai daun pandan
1 batang serai
5 ulas bawang putih (ketuk)
Garam secukup rasa
Air rebusan (stok) ayam secukupnya

Cara-caranya
1. Tapiskan secukup air rebusan ayam dan tuang ke dalam periuk nasi. Masukkan mentega, minyak, beras, daun pandan, serai, bawang putih dan garam. Kacau sedikit supaya bahan rata dan masaklah nasi seperti biasa.
2. Untuk supnya, tapis baki air rebusan ayam tadi, tuangkan ke dalam periuk dan campurkan dengan sebuku kiub stok ayam. Masak hingga kiub larut. Masukkan secukup hirisan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Hidangkan bersama ayam dan nasi.

Bahan D (untuk sambal dan ulam)
3 batang lada merah
3 biji lada padi
10 ulas bawang kecil
3 labu tomato
100 gram ikan bilis goreng
100 gram belacan
Secukup ulam (kacang botol, ulam raja, timun, pengaga)

Cara-caranya
1. Goreng lada padi, lada merah, bawang kecil dan belacan selama lima minit. Angkat dan toskan minyaknya kemudian tumbuk bersama ikan bili sgoreng hingga lumat.
2. Sajikan bersama ulam, nasi dan ayam penyet.

Nota: Jika suka anda boleh juga buat sambal belacan. Anda boleh menggunakan 5 batang lada merah, 3 biji lada padi, ½ sudu teh gula melaka, 1 biji tomato dan 1 sentimeter belacan bakar. Satukan semua bahan ini dan tumbuk hingga lumat.

Bahan D (untuk sos hitam)
½ botol sos tiram
½ botol air
Segenggam gula pasir
Sedikit minyak bijan

Cara-caranya
1. Satukan semua bahan dalam periuk kecil dan masak hingga sos mendidih.

0 comments: