Thursday, December 4, 2008

Mee Rebus Johor



Resipi lama ini ditulis oleh Allahyarham Haji Ahmad bin Yaakob ,dari bukunya Medan Selera.[Al-Fatihah untuk Allahyarham].Beliau merupakan pakar masakan yang terkenal di Johor sekitar tahun 1950-an. Lihat gaya bahasa,bahan dan sukatannya. Resipi ini dikekalkan dalam tulisan asal supaya kita dapat 'feel' masakan lama. Semoga dapat dimanfaatkan oleh semua.

Persediaan dan Rempah2nya:

1. Mee Kuning 3 kati
2. Taugeh 1 kati
3. Pendaram 10 keping (dipotong2)
4. Paru2 atau hati goreng ½ paun (dipotong2 sabesar jagong)
5. Sotong goreng ( sedang besarnya)4 ekor (dipotong nipis2)
6. Bawang Merah goreng 15 hulas
7. Telur rebus 4 butir (potong bulat2)
8. Daun saldri 3 batang (potong halus2)
9. Daun bawang 3 batang (potong halus2)
10. Lada hijau champur merah 10 butir (potong nipis2)
11. Limau kasturi 5 butir (kerat 2)
12. Ketumbar 5 chamca besar
13. Lada kering 20 butir
14. Kunyit kering 20 butir
15. Jintan puteh 1 camcha besar
16. Jintan manis 1 chamca besar
17. Chekor hidup atau
kering sabesar kelingking ½ inchi panjang
18. Halia sabesar ibu jari 2 inchi panjang
19. Bawang merah 6 hulas
20. Bawang puteh 5 hulas
21. Kachang tanah ( digoreng) 1 tahil
22. Udang hidup (sedang besarnya) ½ kati
23. Daging lembu atau kambing ½ kati
24. Kentang 3 butir (potong kechil2 4 persegi)_
25. Santan kelapa 1 gelas minum
26. Minyak kelapa ¾ chawan kopi
27. Bunga chengkeh 6 butir
28. Buah pelaga 6 butir
29. Kulit manis sebesar kelingking 2 inchi panjang
30. Buah pek-kak 3 butir
31. Bawang besar mayang 2 buku
32. Serbok perasa (jika ada) 1 chamcha the (penoh)
33. Garam Sachukup rasa

Peraturan membuatnya:

1.Rempah dari No.12 hingga 21 itu digiling halus semuanya dan masokan dalam sabutir mangkok.
2.Daging lembu atau kambing dipotong 4 persegi kechil2 dan dibasoh berseh2.
3.Udang dibuang kepala,ekor dan janggutnya dan basoh berseh2.
4.Jerangkan periok dan tuangkan minyak semua sekali dan bila telah pijar masokan daun pandan wangi satelah hangus buangkan dan masokan bawang besar mayang, garam,chengkeh,pelaga,kulit kayu manis dan buah pek-kak kachau2 hingga kuning bawang itu masokan rempah2 giling dan udang dan daging semuanya dikachau hingga rata.Satelah itu masokan santan dan tambah air saberapa yang patut dan biarkan mendidih kira2 1 ½ jam lamanya. Kemudian masokan kentang potong dan bila telah empok kentang itu masokan serbuk perasa lalu dikachau2 lagi dan terus diangkat atau biarkan diatas dapor dengan pakai bara sahaja.

Nota:
Resipi ni tak tulis secara terperinci cara penyediaan untuk bahan bernombor 2 hingga 11.Semuanya bahan iringan untuk melengkapkan hidangan ini.
1 kati=600 gram
1 tahil= 37.5 gram
1 pound= 453.6 gram
Buah pekkak= bunga lawang

1 comments:

amboii

terima kasih memang lama cari resipi cam ni, tade ke resipi untuk cucur rangup yang letak atas mee tu.